RAIHANA : GARIS MASA 3


     “Penat. Aku sudah penat dengan semua ini. Kes baharu setiap hari yang kian berganda. Situasi korup politik ibarat anjing dengan kucing yang mementingkan hedonisme. Peningkatan kes kematian akibat bunuh diri dalam kalangan rakyat Malaysia semakin menjadi-jadi. Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak berpenghujung. Sistem pembelajaran yang tidak sistematik membuatkan para remaja berdepan dengan situasi dangkal nan membingungkan. Ekonomi keluarga yang merundum bagai jatuh ditimpa tangga. Semua ini tidak masuk dek akal. Serata dunia tergugat kerana satu makhluk yang bersaiz lebih kecil berbanding zarah. Mata tabloid yang memanipulasi warga netizen dengan wadah yang tidak sahih. Ya Allah, mengapa Kau menguji kami dengan wabak yang muncul tidak diundang ini? Apa yang Kau cuba sampaikan, ya Tuhanku? Tidak cukupkah kau sudah memanggil kedua ibu bapaku menghadap-Mu, ya Allah? Aku penat.” Itulah yang bermain di benak Raihana lalu disambut tangisan tidak bersuara. Bertemankan cahaya bangunan pencakar langit yang berkedip-kedip malap dan bayu malam sepoi-sepoi bahasa menampar pipi yang kesejukan. Raihana duduk di atap bangunan memikirkan apakah kesudahan riwayat hidupnya. Adakah dia perlu melalui semua ini seumur hidupnya? Dia penat. Sungguh penat.

 

Imbas kembali ;


“Raihana, mari duduk dengan mama dekat sini, nak.” Satu suara yang tidak asing bergetar di gegendang telinga Raihana. “Baik, mama.” Raihana menjawab dengan nada yang amat sopan dan lembut. Setiap ibu pasti akan sejuk hati mendengar sahutan anak yang amat halus lagi santun itu. Raihana duduk di sisi pangkuan ibunya. Dia memandang raut wajah bondanya itu tidak berkedip walau seinci. “Kenapa Raihana pandang mama begitu?” tanya ibunya dengan tawa kecil dihujung. “Rai nak pandang mama Rai yang cantik ini sepuas-puasnya. Kan dapat pahala. Rai nak dapat banyak pahala. Rai nak masuk syurga.” “Hahahaha” Kedua anak-beranak itu tertawa bahagia di berandah rumah Rai yang mewah belaka.


    “Andai sahaja aku mampu pulang ke masa lalu,” kata-kata yang terpacul keluar dari mulut Raihana disambut dengan air mata penyesalan yang turun tak tiris. Andai sahaja dia mampu memutar semula masa. Dia ingin hidup bersama mamanya. Itu sahaja yang dia mahukan di dalam dunia ini. Dia sanggup gadaikan nyawanya jika itu satu-satunya syarat untuk bertemu dengan bonda kesayangannya. 


“Mengapa kau melawan kata mama kau, Rai? Kenapa? Bodohnya kau! Adakah kau sudah puas sekarang? Adakah kau bahagia mama kau dah pergi?” Rai menengking dirinya sendiri sambil menangis teresak-esak mengingat perilaku kasarnya terhadap mama. Dia ingin memohon maaf atas kesalahannya yang lepas. Dia mahu bibit-bibit akhir hidup mamanya diakhiri dengan memori manis. Rasa berdosa yang sebal mencengkam setiap sudut hatinya. Linangan air mata pada wajah Raihana tak ubah seperti psikopat yang mempunyai gangguan mental. Sakit. Sakit yang tidak berpenghujung.


Imbas kembali ;


Setelah ibunya didiagnosis positif Covid-19, mereka terpaksa berenggang selama hampir 2 bulan. Raihana sedikit pun tidak merasa sedih malah gembira kerana dia tidak perlu menghadap muka mamanya 24 jam setiap hari. Tidak ada yang akan menegur kesalahan. Tiada yang memberi tarbiyah sentap setiap jam. Dia bebas untuk melakukan apa yang dia mahukan. Sepanjang 2 bulan itu, dia tidak pernah bertanya khabar mamanya walau sekali. Raihana betul-betul menghabiskan masanya dengan kawan-kawan dan membeli-belah secara dalam talian menggunakan kad kredit yang dibekalkan ibunya. Kehidupan sepanjang 2 bulan itu ibarat syurga tersalah alamat. Tidak sekalipun eksistensi ibunya menjadi satu persoalan dalam benak hati.


    Raihana membuang tin Milo yang kosong ke lantai bangunan begitu sahaja sambil mengelap tangisan di pipinya. Dia memusingkan badan 180 darjah untuk berjalan masuk ke rumahnya semula tetapi ada yang menghalang. “Eh, Usu! Terkejut Rai. Kenapa datang tak berbunyi tapak kasut macam hantu?” tanya Raihana kepada lelaki dalam lingkungan 30-an itu. “Kau rasa?” kata lelaki itu lalu menghampiri Raihana menempatkannya di bucu atap bangunan. “Usu, jangan macam ini. Rai takutlah,” terketar-ketar suara Raihana cuba menghalang lelaki itu. “ARGHHH!” Suatu lolongan kuat diakhiri dengan sebujur wanita yang terbaring di atas tar jalan raya jatuh dari atap apartmen yang mempunyai 25 buah tingkat itu. “Ke..ke..kenapa Usu bunuh Rai?” darah membuak-buak keluar dari mulut Raihana yang masih nyawa-nyawa ikan itu. “Akhirnya, semua harta keluarga Emma jadi milik aku! HAHAHAHAHA!” hilai tawa psikotik lelaki itu memecahkan suasana sunyi sepi malam di apartmen mewah itu.



(664 patah perkataan)

karya : danishd.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

The Boy the Shadows Remembered